Anda mungkin tertanya-tanya, “Siapa yang perlu bayar cukai dan pendapatan apa yang dikenakan cukai?”
Ramai yang ingin tahu berapa jumlah gaji yang perlu dikenakan cukai. Dalam panduan ini, kami akan menjawab semua soalan anda mengenai cukai pendapatan di Malaysia.
Setiap tahun, individu yang mempunyai pendapatan dan layak dikenakan cukai perlu membuat e-filing atau mengisytiharkan cukai individu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).
Bagi anda yang baru bekerja atau pertama kali menguruskan cukai sendiri, anda mungkin tertanya-tanya jika anda layak membayar dan mengisytihar cukai tersebut. Mari kita fahami apa itu cukai individu dan siapa sebenarnya yang perlu dikenakan cukai.
Apa Itu Cukai Pendapatan LHDN?
Cukai pendapatan adalah cukai tahunan yang dikenakan kepada seseorang yang menerima pendapatan dalam bentuk:
- Laba atau keuntungan daripada perniagaan
- Gaji atau keuntungan daripada pekerjaan
- Dividen, faedah, atau diskaun
- Sewa, royalti, atau premium
- Pencen, anuiti, atau bayaran berkala lain
- Laba atau keuntungan lain yang tidak termasuk dalam kategori di atas
Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) menguatkuasakan pentadbiran dan kutipan cukai pendapatan ke atas individu dan pendapatan yang layak dikenakan cukai. Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) adalah agensi di bawah Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab menguruskan kutipan cukai langsung negara.
Siapa Perlu Bayar Cukai?
Cukai pendapatan dikenakan kepada setiap individu yang pendapatannya diperoleh atau terbit di Malaysia, atau diterima di Malaysia dari luar negara, setiap tahun taksiran.
Individu yang mempunyai pendapatan melebihi nilai ambang yang ditetapkan perlu mendaftar fail cukai pendapatan. Skop pengenaan cukai seseorang individu bergantung kepada taraf mastautinnya:
- Individu bermastautin dikenakan cukai mengikut kadar cukai berskala dan layak menuntut potongan cukai.
- Individu bukan pemastautin dikenakan cukai pada kadar tetap 30% dan tidak layak menuntut sebarang potongan.
Pendapatan daripada luar Malaysia yang dibawa masuk ke Malaysia dikecualikan daripada cukai.
Jumlah Pendapatan Individu yang Tidak Dikenakan Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2022
Pendapatan Penggajian
Individu yang menerima pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 dan mempunyai Potongan Cukai Bulanan layak dikenakan cukai. Ambang jumlah pendapatan individu yang tidak dikenakan cukai dikira berdasarkan pendapatan kasar tahunan ditolak pelepasan asas individu dan rebat cukai yang layak. Pelepasan asas termasuk pelepasan untuk individu, saudara tanggungan, suami/isteri, dan anak (bawah umur 18 tahun) bagi individu yang berkahwin. Rebat individu (RM400) dan pasangan (RM400 jika berkenaan) dibenarkan jika pendapatan bercukai individu tersebut tidak melebihi RM35,000.
Berikut merupakan ambang jumlah pendapatan individu TIDAK DIKENAKAN CUKAI mengikut jenis taksiran :
JENIS TAKSIRAN | PENDAPATAN TAHUNAN (RM) | PENDAPATAN BULANAN (RM) |
Diri Sendiri(Bujang / janda / balu / duda / pasangan tiada punca pendapatan) | 37,333 | 3,111 |
Berasingan | ||
1. Berkahwin + 0 Anak | 37,333 | 3,111 |
2. Berkahwin + 1 Anak | ||
3. Berkahwin + 2 Anak | 41,333 | 3,444 |
Bersama | ||
1. Berkahwin + 0 Anak | 48,000 | 4,000 |
2. Berkahwin + 1 Anak | 50,000 | 4,167 |
3. Berkahwin + 2 Anak | 52,000 | 4,333 |
Nota:
* Jumlah pelepasan individu dan saudara tanggungan adalah RM9,000
** Jumlah pelepasan anak di bawah umur 18 tahun adalah RM2,000 bagi seorang anak
*** Jumlah kelayakan rebat (diri sendiri dan suami / isteri) terhad kepada pendapatan bercukai individu sehingga RM35,000
Pendapatan Perniagaan
Keuntungan daripada perniagaan, perdagangan, pencarian, atau profesion adalah pendapatan yang layak dikenakan cukai, termasuk perniagaan yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa (ekonomi bayangan). Jenis perniagaan termasuk:
- Milikan Tunggal/Bekerja Sendiri: Individu yang menjalankan perniagaan secara perseorangan.
- Perkongsian: Kerjasama antara dua atau lebih pihak untuk menyatukan hak, kuasa, tenaga kerja, atau kemahiran dalam menjalankan perniagaan dan berkongsi keuntungan. Perkongsian mungkin terdiri daripada individu, dua syarikat, individu dan syarikat, atau individu dan pemegang amanah.
Contoh perniagaan:
- Perniagaan runcit
- Perniagaan pasar malam/gerai
- Perniagaan melalui internet (ekonomi digital)
- Lakonan, nyanyian, duta produk, ulasan produk
- Komisen, kelas tuisyen, penceramah
- Perniagaan jualan langsung/stokis
- Penulisan, Youtuber, blogger
- Pertanian dan penternakan
- Klinik, firma guaman, atau pengamal profesional lain
- Pemandu teksi/e-hailing
Dengan panduan ini, diharapkan anda mendapat gambaran yang jelas mengenai siapa yang perlu membayar cukai dan jenis pendapatan yang dikenakan cukai di Malaysia.
Trackbacks/Pingbacks